Mojo Cari Pemain Gitar Bass, Mahu Lengkapkan Kugiran Sebelum Kembali Warnai Pentas Muzik

By Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Kumpulan rock, Mojo, kini sedang mencari pemain bass untuk melengkapkan kumpulan muzik mereka.

Anggota yang juga pemain keyboard, Edry Abdul Halim berkata, dia yang kini menetap di Manchester, United Kingdom sebelum ini memainkan nota bass di keyboard, namun menjadi kesukaran apabila dia tidak dapat ada bersama Mojo ketika persembahan pentas.

“Kami mencari pemain bass di luar sana yang ingin menyertai Mojo. Bila persembahan secara langsung di pentas, kami perlukan barisan pemuzik termasuklah pemain bass.

“Selalunya, saya akan mainkan nota-nota bass di atas keyboard, tapi, mungkin ada masanya saya tak dapat tampil bersama mereka memandangkan saya menetap di United Kingdom.

“Jadi, kami memang perlu mencari pemain bass berbakat di luar sana untuk sertai kami,” katanya.

Edry dan Mojo bagaimanapun tidak meletakkan sebarang kriteria, termasuklah terbuka untuk sebarang jantina.

“Kami tak ada letakkan sebarang kriteria yang terlalu tegas, tetapi, kita akan lihat calon yang menghantar permohonan dan uji sedikit.

“Tak kisah sama ada lelaki atau perempuan, anda yang berbakat boleh mencuba nasib dan menghubungi Mojo menerusi Facebook kami,” katanya.

Mojo yang dianggotai Edry, Aweera (vokalis), Denny (gitaris) dan Johar (pemain dram) kini hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Superstar.