Category

News

Kalau dah rezeki! Peniaga nasi jadi artis rakaman KRU Music!

By News

By Fariza Saidin

PENYANYI baharu ini bukan siapa-siapa. Belum pernah diperkenalkan di kaca TV sekali pun atau lahir dari program pertandingan realiti. Namun suara lunak Fai Ramli berjaya menarik minat Dato Norman Abdul Halim untuk menawarkannya kontrak rakaman di bawah label KRU Music. – KitaReporters

Khabarnya, hanya dalam tempoh 5 minit suara lunak pemilik nama sebenar, Muhammad Faizal Ramli ini berjaya meyakinkan Presiden & Ketua Pegawak Eksekutif KRU Music Sdn Bhd itu, untuk mengambil dia sebagai artis rakaman.

Menjengah ke laman sosial Instagramnya, apa yang diketahui Fai berniaga ‘nasi ala Kelate’ pagi-pagi di hadapan sebuah sekolah Kebangsaan di Kota Damansara, Selangor.

Oh orang Kelantan, berniaga gerai makanan rupanya!

Apa pun, percubaan pertama jejaka berusia 27 tahun ini dalam bidang hiburan bakal dihitung ramai apabila muncul dengan lagu bertajuk “Cintamu Kekuatanku’ yang dicipta oleh Neo dan diterbitkan oleh Bajai.

“Cintamu Kekuatanku” menceritakan tentang erti percintaan sebenar yang menjadi pemangkin atau kekuatan dalam sesebuah perhubungan.

Maksud lagu ini boleh dilihat dan dihayati dengan lebih mendalam menerusi video muzik dalam saluran YouTube KRU Music.

Di dalam video berkenaan, diandaikan tentang sebuah pasangan bahagia yang mula jatuh cinta dari seusia muda hingga berjaya ke ambang perkahwinan.

Namun rahsia yang tersirat dan pengorbanan mereka menempuhi dugaan jugalah yang memberi kekuatan demi meneruskan kehidupan.

Menurut Norman, lagu ‘CIntamu Kekuatanku’  berjaya menonjolkan kelainan dan keunikan suara Fai Ramli, lebih-lebih lagi ia dicipta khas untuk Fai bersesuaian dengan “vocal range” nya.

“Dengan bakat yang ada, saya berharap Fai akan berjaya menempa nama di persada industri muzik tanah air sebaris dengan penyanyi-penyanyi hebat tanah air.

Lagu ini juga amat dramatik dan sesuai jika dijadikan lagu tema bagi drama bersiri,” yakin Norman.

Melayari video muzik rasmi lagu ‘Cintamu Kekuatanku’ berkenaan yang sudah hampir 24 jam dimuat naik, nampaknya ia baharu mampu memikat hampir 3,000 tontonan.

Walaupun beliau mempunyai sejumlah 55.1k pengikut dalam Instagram, tidak syak lagi ramai yang belum mengenali anak muda ini waima hanya kira-kira 35 komen positif yang mengucapkan tahniah diterimanya.

Pun begitu, bagi mereka yang meminati lagu ini dan ingin dijadikan sebagai nada dering panggilan boleh melakukannya menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar melalui penstrimen dalam talian.

Mungkinkah lagu ini akan meletop? Kita tunggu dan lihat perkembangannya dari semasa ke semasa ya…

Apa pun sebagai penyanyi baharu dengan lagu baharu, bukanlah sesuatu yang ganjil apabila belum mampu mencapai ribuan atau jutaan penonton dan tidak mustahil juga ia boleh terus meningkat ke suatu jumlah yang wow!

Yang penting Fai Ramli harus terus berusaha kerana yang  lebih penting lagi dia perlu ingat bukannya mudah mahu menjadi artis rakaman KRU Music  ya tak?

Jadi itu pun sudah dikira satu kejayaan baginya. Tahniah! – KitaReporters