“Ada Yang Menyamakan Saya Dengan Nabila Razali” – Dian Hashim

By Shafadzlin Ahmad Shaharir

Baru sahaja membuat kemunculan rasminya dengan single “Aku Wanita”, artis terbaru KRU Music, Dian Hashim, 21, sudah disama-samakan dengan ramai artis wanita terkenal yang lain dan antaranya termasuklah penyanyi Nabila Razali.

Mengakui kenyataan tersebut, Dian Hashim yang mesra disapa sebagai Dian, berkongsi, “Kadang-kadang apabila saya mengenakan tudung dengan gaya tertentu, pastinya akan ada yang menyamakan saya dengan Nabila Razali.”

“Bukan itu sahaja. Pernah sekali saya pergi ke sebuah stesen radio untuk mempromosikan single terbaru, ada pula yang menyamakan saya Sarah Suhairi.”

“Sebagai wajah baru, saya masih bereksperimentasi dengan bunyi muzik saya, dan masih tercari-cari warna saya yang tersendiri.”

Oleh sebab itu, Dian ingin dilihat sinonim dengan warna pink. “Warna pink merupakan konsep single pertama saya, “Aku Wanita”. Ke mana-mana sahaja saya pergi, pastinya saya akan kenakan warna pink, baik pada pakaian mahupun perhiasan. Saya nak kalau orang nampak warna pink, mereka teringat nama Dian Hashim,” ujarnya, teruja.

Penuntut Fakulti Muzik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang pernah menyertai program realiti TV, I Can See Your Voice itu juga berkongsi, “Ibu bapa saya yang merupakan seorang peminat KRU, sangat menyokong hala tuju saya untuk bergelar seorang artis. Saya juga bersyukur kerana menerima sokongan besar daripada Fakulti Muzik, kawan-kawan dan orang ramai dengan terbitnya lagu “Aku Wanita”,”

“Cumanya, kekangan terbesar yang saya alami adalah dari segi promosi single tersebut kerana banyak acara dan perancangan yang terpaksa dibatal dan ditunda kerana Covid-19. Senang cerita, sukar untuk saya keluar menampilkan diri kerana pandemik yang sedang berlaku,”

“Sebagai seorang pemuzik, saya tidak menyanyi kerana populariti. Saya inginkan pengikut setia yang sudi mendengar karya-karya saya. Saya mahu orang ramai nampak karakter dan warna saya yang tersendiri dalam muzik Dian Hashim, dan tidak mahu disama-samakan dengan artis lain.”