By Kopi Planet
Kumpulan MOJO tidak asing lagi dalam dunia hiburan tempatan. Kumpulan rock moden Malaysia/Indonesia ini yang ditubuhkan pada tahun 2012 telah memenangi pelbagai anugerah dan terkenal dengan lagu seperti “Andai Ku Bercinta Lagi”, “Romancinta” dan “Dahsyat”.
“Kami amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kumpulan MOJO telah bergabung semula dengan mengekalkan barisan asalnya iaitu Edry, Aweera, Johar dan Denny menerusi EP terbaru mereka berjudul “Superstar” dan bakal mengadakan konsert solo sulung mereka pada penghujung 2023.” ujar Dato’ Norman Abdul Halim, Ketua Pegawai Eksekutif, KRU Music Sdn Bhd.
Peminat dijanjikan dengan DNA muzik asal MOJO yang diperkasakan dengan melodi memukau, lirik puitis, persembahan vokal yang mantap, rif gitar berirama dan rentak drum yang agresif digabungkan dengan alunan “synthesizer” serta “live strings” yang mengetengahkan tema heavy modern “Rockestra.” tambah Dato’ Norman lagi.
“Superstar” yang juga merupakan judul single pertama dari EP ini adalah sebuah lagu rock moden yang secara sinis mengisahkan tentang perjuangan dan impian bintang baru yang ingin untuk menjadi popular di dalam industri muzik. Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim manakala video muzik “Superstar” diarahkan oleh Syahmi Afif.
“Walaupun kami kini mempunyai kerjaya dan sibuk dengan kehidupan masing-masing, perasaan rindu untuk bekerjasama sebagai sebuah kumpulan muzik dan bertemu peminat amat dirasai. Begitu pantas lebih 5 tahun telah berlalu, dan sebelum MOJO hilang dari ingatan peminat, kami rasakan ini masa yang terbaik untuk bergabung semula dengan semangat baru. Kami sangat teruja dengan EP yang mengandungi 4 lagu ini serta perancangan KRU Music. Kami sedia memberi komitmen 100 peratus.” kata Johar, pemain drum MOJO.
Menurut Edry selaku komposer utama dan pemain keyboard MOJO “Dengan kemudahan teknologi, saya rasa tiada masalah bagi saya untuk aktif semula dengan MOJO walaupun masih menetap di Manchester. Kini terdapat pelbagai platform untuk saya berkomunikasi dan berinteraksi secara digital bersama kumpulan MOJO dan terutama sekali bersama peminat di media sosial. Walaupun tidak mungkin saya dapat hadir kesemua aktiviti pentas dan promosi MOJO, saya akan tetap cuba meluangkan masa untuk kembali ke Malaysia bagi persembahan televisyen atau pentas utama sekiranya mendapat peluang.”
Lagu “Superstar” sangat istimewa kerana lagu ini adalah lagu pertama yang MOJO rakamkan setelah lebih 9 tahun Aweera dan MOJO berpisah. Lagu “Superstar” juga adalah lagu rancak yang bertenaga yang dapat dijadikan sebagai “lagu tema” (anthem) untuk “comeback” bagi MOJO. Saya berharap MOJO akan terus bersemangat untuk berkarya kembali agar dapat memeriahkan industri muzik di Malaysia dan Indonesia. Seperti dalam lirik “Superstar” “…jangan tua tunggu mati, impian tak dikecapi” begitu juga hendaknya kita semua menjalani hidup. Yeah…Rock On!!!” kata Denny, gitaris MOJO.
“Perjuangan saya bersama MOJO masih belum selesai demi meneruskan perjuangan legasi rock. Saya mula dikenali menerusi lagu-lagu MOJO dan “Superstar” adalah buah tangan untuk penyokong-penyokong MOJO yang tidak jemu menyokong kami dari awal kemunculan sehingga kini. Saya juga amat berterima kasih kepada pihak KRU Music diatas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya dan MOJO untuk terus berkarya” ujar Aweera.
MOJO juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penaja busana bagi penggambaran video muzik MOJO, “Cerlene” serta penaja makanan sepanjang penggambaran dan sidang media MOJO “Captain Coffee”.
Lagu “Superstar” akan dikeluarkan secara rasmi di kesemua platform penstriman digital pada 24hb Februari 2023 sementara video muziknya akan ditayangkan di saluran YouTube KRU Music dan MOJO jam 8 malam pada hari yang sama. Untuk maklumat lanjut mengenai MOJO, sila layari dan like akaun YouTube, Instagram, Tik Tok, Facebook, Telegram dan Twitter MOJO. – KopiPlanet.com