Mojo Cari Pemain Gitar Bass, Mahu Lengkapkan Kugiran Sebelum Kembali Warnai Pentas Muzik

By Abang Dee

Hampir sedekad tidak mewarnai pentas muzik tempatan, kini kumpulan Mojo kembali ‘bernyawa’ sementelah pengasasnya, Edry Abdul Halim menyatukan semula barisan anggota asal.

Selaku pemain keyboard, Edry yang menetap di United Kingdom berkata, biarpun barisan empat anggota asal masih ada, Mojo tetap mahukan seorang lagi pemuzik untuk menyertai mereka.

“Kami cari pemain bass yang ingin menyertai Mojo. Bila mahu mengadakan persembahan pentas secara langsung, kehadiran pemain bass amatlah dialu-alukan.

“Sebelum ini selalunya saya yang akan mainkan nota-nota berbunyi bass menggunakan keyboard, tetapi adakalanya saya tidak dapat tampil bersama Mojo.

“Jadi, sedang mencari pemuzik hebat dan berbakat besar untuk bersama-sama kumpulan ini,” katanya.

Menyentuh kriteria pemuzik dikehendaki, Edry katakan Mojo tidak letakkan sebarang syarat tertentu, tidak kiralah lelaki atau wanita.

“Kalau ada pun cuma syarat asas iaitu mesti pandai main muzik. Jantina lelaki atau wanita, kami tak kisah sebab ia terbuka untuk sesiapa,” jelasnya.

Selain Edry, Mojo turut dianggotai Aweera (vokalis), Denny (gitaris) serta Johar (pemain dram) dan kini hadir dengan buah tangan terbaharu diberi judul Superstar. – BOOM!