By Serimah Mohd Sallehuddin
KUALA LUMPUR: Dengan reputasi lebih tiga dekad bermula dari zaman trio adik-beradik, KRU, tidak hairanlah Edry Abdul Halim, 46, mengatur strategi baharu dalam karier seni.
Edry yang bermastautin di Manchester, United Kingdom (UK) bersama keluarga sejak hampir lima tahun lalu, tidak mahu lagi mencipta lagu yang dianggap bukan jiwanya atau menghasilkan produk yang tidak boleh dibanggakan sebagai komposer berpengalaman.
Paling penting, baginya zaman mengejar viral dan populariti sudah lama berlalu.
“Bodohlah saya sebagai ahli perniagaan, tidak merebut peluang besar untuk menghasilkan lagu viral (ketika itu).
“Tetapi zaman mengejar viral sudah berlalu, cukup-cukuplah dengan apa yang sudah saya kecapi,” luah Edry kepada BH Online pada sesi temu bual secara maya, baru-baru ini.
Edry mengaku sanggup menolak bayaran lumayan asalkan dapat bekerjasama dengan artis yang kena dengan jiwa dan penyanyi atau pemuzik yang mampu membawa lagu ciptaannya ke peringkat lebih tinggi.
“Saya menjalani kehidupan selesa dan tenang di Manchester. Bagi saya, zaman mengejar viral sudah lama berlalu. Beberapa tahun lalu, saya bersetuju menghasilkan lagu viral untuk Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida sekadar suka-suka.
“Walaupun lagu ciptaan saya itu ‘trending’ dan viral, ia bukanlah hasil karya seni yang boleh dibanggakan.
“Jika sekarang mereka minta saya cipta lagu dan beri upah lumayan, minta maaf, saya tidak perlukan wang mereka. Saya bukan riak, tetapi carilah komposer yang sanggup buat lagu kerana cukuplah, saya pernah mencuba,” katanya.
Berkongsi pengalaman, Edry pernah ditawarkan mencipta lagu dengan upah lumayan oleh seorang penyanyi. Niat penyanyi terbabit, kata Edry, hanya mahu karya dihasilkan viral, biarpun dikecam, asalkan populariti melonjak. Semuanya gara-gara cubaan merakam single balada dengan komposer lain, sebelum itu gagal memikat pendengar.
“Orang sekarang terlalu obses dengan viral hingga tidak tahu apa tujuan mereka jadi penyanyi. Artis terbabit beritahu mahu buat begitu sebab lagu balada dihasilkannya tidak boleh ‘pergi’.
“Bagi saya, lagu sepatutnya meninggalkan memori indah buat pendengar, namun, penyanyi terbabit memilih sebaliknya.
“Saya terpaksa tolak tawaran itu kerana saya tidak mahu buat lagu untuk dikecam. Saya beritahu penyanyi terbabit bahawa saya bukan orangnya. Saya minta dia cari komposer yang sanggup buat lagu untuknya.
“Saya perlu jujur kepada diri sendiri. Apa yang penting pada saya adalah karya berbanding populariti. Saya tidak perlu bekerja dengan artis begitu, tetapi itu haknya untuk memilih cara berkenaan,” katanya yang menganggotai kumpulan Mojo.
Berkongsi perancangan bersama Mojo yang kembali mewarnai persada seni selepas sembilan tahun menyepi, Edry yang bertindak sebagai pakar synthesizer kumpulan terbabit, mengaku bukan mudah mencari karya yang mampu melonjakkan nama mereka semula.
Selain menawan hati peminat lama, Mojo perlu mengumpul penyokong dalam kalangan generasi baharu. Justeru, Edry perlu mencari lagu yang dapat mengekalkan identiti Mojo dan melekat di telinga pendengar.
Selain Edry, Mojo dianggotai Aweera sebagai vokalis, Johar (dram) dan Denny (gitar).
Lantas, lagu Superstar menjadi taruhan pertama mereka. Selain itu, Mojo bakal tampil dengan tiga lagu lain, termasuk dendangan ‘cari makan’ iaitu karya balada.
Edry berkata, kecanggihan teknologi memudahkan ahli kumpulan berkomunikasi. Walaupun berjauhan, mereka saling berhubung, terutama dalam proses penghasilan lagu.
“Tidak susah berbincang mengenai lagu baharu. Saya hanya kirim demo, kemudian kongsi nota lagu untuk mereka berlatih sebelum rakaman.
“Apabila kami berjumpa untuk proses rakaman, semua ahli kumpulan sudah tahu nota lagu yang perlu dimainkan.
“Cuma untuk kerja rakaman, proses itu perlu dilakukan secara bersemuka. Jadi, saya terpaksa pulang ke Malaysia buat sementara waktu. Untuk menyiapkan projek ini, saya pulang setiap tiga hingga empat bulan sekali,” katanya.
Edry berkata, proses rakaman perlu dilakukan secara bersama.
“Saya tidak mahu kerja rakaman dibuat berasingan. Saya tidak mahu Mojo tampak seperti band komputer, seorang di sini dan seorang di sana.
“Bagi saya ia tidak praktikal kecuali untuk penyanyi solo,” katanya yang merancang mementaskan konsert bersama Mojo, Disember depan.
Sebagai persiapan untuk konsert itu, Mojo akan melancarkan lagu baharu mereka untuk mencukupkan koleksi lagu pada persembahan itu.
“Sekarang kami gigih menyiapkan katalog lagu. Sekurang-kurangnya, sebelum konsert, peminat sudah kenal lagu Mojo.
“Kami juga ingin pastikan ada lagu yang cukup sebelum konsert. Tidak mahulah menyanyikan lagu saduran kumpulan rock lain. Jika hendak menyanyikan lagu orang sekalipun, mungkin lagu KRU sahaja,” katanya.
Mengenai kehidupan di Manchester yang bertujuan memberi pendidikan terbaik buat anak istimewanya, Emery, 16, yang menghidap autisme, mula berhasil.
Edry berkata, anak ketiganya itu sudah menunjukkan perkembangan positif hari demi hari, malah mampu mengurus diri.
Walaupun Emery belum mampu bertutur, Edry dan isteri gembira melihat perkembangan anaknya itu.
“Sebaik berpindah ke Manchester, kami mula kurangkan jangkaan terhadap perkembangan Emery.
“Kami tidak lagi tunggu bila cikgu akan mengajar dia bercakap. Sebaliknya, kami terima seadanya keadaan anak kami.
“Lagipun, apa yang diajar sekolah di UK lebih kepada asas kehidupan seperti penggunaan tandas, keselamatan di dapur, melintas jalan dan lain-lain.
“Sebelum ini, Emery tidak suka berjalan. Sebaliknya, lebih suka duduk kereta sorong anak kecil, walaupun sudah besar. Tetapi sejak belajar di sini, dia sudah mula berjalan. Emery boleh menguruskan diri sendiri sedikit sebanyak.
“Itu sudah cukup membuatkan saya dan isteri gembira kerana kami mahu melihat dia pandai berdikari. Berikutan Emery belum boleh bercakap, kami berkomunikasi menggunakan aplikasi. Dia menaip apa yang dimahukan melalui aplikasi itu,” katanya.
Selain Emery, Edry dan isterinya, Milia dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Emil, 23; Edylia, 20, dan Elya, 13.
Ditanya adakah dia mahu terus menetap di UK, Edry berkata, Emery akan tamat persekolahan dalam tempoh empat tahun. Namun, dia dan isteri belum merancang untuk kembali ke tanah air.
Baginya, tidak salah menjadikan Manchester rumah kedua. Malah, Edry tidak akan memaksa anak jika mereka enggan pulang ke tanah air.
“Saya tidak nafikan hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri. Jadi, lebih baik di negeri sendiri. Perancangan untuk pulang ke Malaysia ada, tetapi bukan pada waktu terdekat kerana Emery masih belajar.
“Dua anak saya yang dewasa sudah bekerja dan belajar di kolej. Jika mereka ingin terus menetap di Manchester, saya tiada halangan kerana mereka sudah besar… Itu pilihan mereka,” katanya.