Kembalikan magis Mojo

By Syafil Syazwan Jefri

MAGIS Mojo kini kembali bersatu selepas melalui pelbagai episod kekecohan, kekeliruan serta perubahan dalaman.

Umpama judul single sulung mereka, Andai Ku Bercinta Lagi, Mojo yang dianggotai Edry Abdul Halim (synthesizer), Aweera (penyanyi), Johar (dram) dan Denny (gitar) kini kembali bersatu dan meneruskan misi mereka mengusung tema muzik classic synth-rock.

Edry yang kini menetap di Manchester, United Kingdom berkata, sudah tiba waktunya untuk mereka kembali bersatu dan berkarya sebagai sebuah band.

“Selama lima tahun terakhir ini, saya memantau rakan-rakan dari jauh. Saya rasa semua pihak tahu apa yang berlaku kepada kami. Mungkin pada ketika itu semua pihak ingin menjaga kepentingan masing-masing secara individu.

“Mungkin sekarang adalah detik paling tepat untuk kami kembali bersatu semula,” katanya.

Berkongsi mengenai kekecohan yang pernah berlaku di fasa Romancinta pada 2015, di mana berlaku salah faham antara Mojo dan Aweera sehingga industri muzik dikejutkan dengan kehadiran Caliph Buskers sebagai pengganti Aweera di Anugerah Juara Lagu 29 (AJL29), Edry berkata, ada hikmah di sebalik insiden itu.

“Alhamdulillah di sebalik kekecohan dan kekeliruan, ada hikmahnya. Fasa Romancinta adalah untuk Caliph Buskers.

“Apabila saya lakukan analisis semula, saya lihat bahawa apa yang berlaku sebenarnya bukan semata-mata mengenai kami, tetapi juga membuka pintu untuk Caliph Buskers bertapak dalam industri muzik.

“Apabila difikirkan semula, apa yang berlaku membuka peluang kepada mereka dan penyanyi jalanan yang lain untuk turut naik. Saya sendiri gembira melihat mereka sehingga kini masih membuat persembahan di TV,” katanya.

Edry juga mengakui banyak perubahan yang dilihat dalam diri dan sikap Aweera selepas beberapa tahun.

“Saya nampak kematangan Aweera selepas lebih lapan tahun tidak bersama. Dia dah cuba menimba pengalaman dengan band lain juga, namun dia perlu lepaskan untuk diri dia juga,” katanya.

Sementara itu, Aweera berkata, dia menelusuri fasa pengembaraan untuk karier seninya, namun tidak pernah berhenti daripada menjalin silaturahim dengan anggota Mojo.

“Kalau nak diikutkan saya tidak merajuk, tetapi lebih kepada melalui proses pengembaraan untuk karier seni saya. Silaturahim antara kami juga masih ada dan kami masih berhubung, cuma tidak dihebahkan.

“Saya rindukan Mojo selepas lebih lapan tahun tidak bersama. Masyarakat mengenali nama saya menerusi Mojo. Banyak kenangan indah bersama Mojo,” katanya.

Menurutnya, perjalanan itu mematangkannya sebagai manusia.

“Sekarang keutamaan saya adalah kepada Mojo. Bagi saya, sebagai manusia yang tidak sempurna, apa yang berlaku adalah proses pembelajaran buat saya. Apa yang berlalu, biarkan berlalu.

“Di usia 20-an, kebanyakan daripada kita melalui fasa di mana hanya nak menang dan enggan mengalah. Alhamdulillah selepas beberapa ketika saya kembali dengan lebih matang. Insya-Allah, saya akan lebih fokus dan matang seiring perubahan waktu.

“Kemunculan semula Mojo adalah untuk menambah lagi legasi band rock tanah air. Kalau nak wujudkan band rock, biar betul-betul rock,” katanya.

Terbaharu, Mojo hadir dengan buah tangan baharu berjudul Superstar yang bertemakan sejagat, namun mampu menyentuh hati mereka yang mengimpikan untuk menjadi artis secara sinis.