Lebih 9 Tahun Berpisah, Aweera Kembali Ke Pangkuan MOJO! Kini Tampil Dengan Single Superstar

By Padin

Lebih sembilan tahun ‘pemergian’ Aweera selaku vokalis utama, penyanyi itu kini kembali ke pangkuan kumpulan MOJO.

Kumpulan MOJO telah bergabung semula dengan mengekalkan barisan asalnya iaitu Edry, Aweera, Johar dan Denny menerusi single terbaru mereka berjudul Superstar.

Menurut Aweera, perjalanannya bersama kumpulan bawah naungan KRU Music itu masih belum selesai.

“Perjuangan saya bersama MOJO masih belum selesai demi meneruskan perjuangan legasi rock. Saya mula dikenali menerusi lagu-lagu MOJO dan Superstar adalah buah tangan untuk penyokong-penyokong MOJO yang tidak jemu menyokong kami dari awal kemunculan sehingga kini.

“Dalam pada itu, saya juga ingin menzahirkan penghargaan dan amat berterima kasih kepada pihak KRU Music diatas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada saya dan MOJO untuk terus berkarya” ujar Aweera.

Superstar yang juga merupakan judul single pertama dari EP ini adalah sebuah lagu rock moden yang secara sinis mengisahkan tentang perjuangan dan impian bintang baru yang ingin untuk menjadi popular di dalam industri muzik. Lagu ini adalah ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim manakala video muzik “Superstar” diarahkan oleh Syahmi Afif.

Menurut Edry selaku komposer utama dan pemain keyboard MOJO, dia tidak mempunyai masalah untuk aktif semula bersama MOJO biarpun kini menetap di luar negara.

“Dengan kemudahan teknologi, saya rasa tiada masalah bagi saya untuk aktif semula dengan MOJO walaupun masih menetap di Manchester. Kini terdapat pelbagai platform untuk saya berkomunikasi dan berinteraksi secara digital bersama kumpulan MOJO dan terutama sekali bersama peminat di media sosial.

“Walaupun tidak mungkin saya dapat hadir kesemua aktiviti pentas dan promosi MOJO, saya akan tetap cuba meluangkan masa untuk kembali ke Malaysia bagi persembahan televisyen atau pentas utama sekiranya mendapat peluang,” katanya.

Lagu Superstar akan dikeluarkan secara rasmi di kesemua platform penstriman digital pada 24hb Februari 2023 sementara video muziknya akan ditayangkan di saluran YouTube KRU Music dan MOJO.