[VIDEO] “Kembali Ke DNA Asal” – Norman Optimis Kredibiliti Tyco Versi Fizikal

By Deegun Rahman

Tyco mencipta sejarah tersendiri dalam industri hiburan tempatan selaku artis animasi 3D pertama diwujudkan di Malaysia pada 2000.

Atas pencapaian diraih trio kartun dianggotai Tylo, Yiko dan Psylo itu, maka tidak hairanlah Tyco mendapat pengiktirafan daripada organisasi Malaysia Book of Records (MBR).

Namun pada 2020, Tyco kembali dengan identiti baharu yang ditampilkan secara fizikal menerusi lagu Salawat 1442 nyanyian bersama Datuk Ustaz Kazim Elias dan Tuju K-Clique, bukan lagi dalam versi animasi maya seperti dikaryakan KRU Music kira-kira 20 tahun lalu.

“Sedia maklum, modal penerbitan animasi bukannya murah kerana memerlukan kos biaya yang tinggi.

“Bahkan masa yang diambil untuk menyiapkan sesuatu karya seperti itu juga bukan sekejap, memang lama berbanding naskhah sebenar.

“Jadi, mengambil kira faktor-faktor tersebut, saya selaku pengurus Tyco membuat keputusan untuk tampil di dunia realiti dengan mengenakan topeng muka.

“Apatah lagi dalam keadaan negara dilanda pandemik, rakyat telah membudayakan pemakain face mask (topeng muka) dan penampilan baharu Tyco ini amat sesuai dengan situasi semasa,” jelas Datuk Norman Abdul Halim mewakili penyanyi hip hop berkenaan.

Pun begitu menurut Norman, tidak semestinya penampilan Tyco tidak akan kembali semula kepada bentuk asal (3D) biarpun kini berimej baharu.

Terkini, sekali lagi figura manusia Tyco dimunculkan sempena penghasilan single baharu KRU Music berjudul Rise Up hasil ciptaan Si8 atau Syed Hazriq, manakala lirik ditulis oleh Roman.

Menyentuh tentang Rise Up, kata Norman, single tersebut boleh dianggap sebagai sebuah lagu pemangkin semangat sementelah melihat nasib ramai rakyat Malaysia yang jatuh dilanda pandemik Covid-19.

“Lebih menarik, lagu ini juga menggabungkan tiga penyanyi rap iaitu DJ Fateh dan Roman selain Tyco sendiri,” tambahnya.

Video muzik Rise Up boleh ditonton di saluran YouTube milik KRU Music bermula tepat jam 9 malam ini dan amat mengalu-alukan peminat setia kumpulan KRU untuk mengutarakan idea serta pendapat di bahagian komen disediakan. – BOOM!