[VIDEO] “Saya Tak Pilih Kasih” – Roman Tulis Rise Up Untuk Bangkitkan Semangat

By Amy Anuar

Rapper baharu yang bernaung di bawah KRU Music iaitu Roman tampil mempersembahkan sebuah karya yang mengangkat isu pandemik Covid-19 selaku tema utamanya.

Berjudul Rise Up, menerusi lagu tersebut, jejaka berketurunan Cina itu turut bergabung dengan dua lagi penyanyi rap iaitu Tyco dan DJ Fateh.

“Sejujurnya, mesej yang ingin disampaikan lagu ini adalah untuk menyeru rakyat Malaysia agar bangkit setelah ramai dalam kalangan kita yang ‘jatuh’ usai dilanda pandemik. Sebab itulah lagu ini dinamakan Rise Up yang membawa maksud bangkit.

“Ketika proses menulis lirik, otak saya pada masa itu memang sedang memikirkan tentang nasib rakyat negara ini yang kesusahan hingga ada antaranya terjerumus ke dalam masalah kesihatan mental.

“Jadi niat saya mahu menyeru semua orang supaya bangun semula,” kongsinya kepada Boom!.

Tambah Roman, dia berharap setiap pendengar Rise Up dapat mendalami mesej yang cuba disampaikannya bersama Tyco dan DJ Fateh.

Ditanya sejauh mana keyakinannya bahawa Rise Up mampu menaikkan semula semangat rakyat, pemuda kacak tersebut menjangkakann pendengar bakal rasa terharu kerana dia menyebut nama setiap negeri yang ada dalam Malaysia.

“Kalau dengar pada bahagian korus, saya ada menyebut semua nama negeri di Malaysia. Tujuannya sebab saya tak nak pilih kasih, itu niat utama secara umum dan terperinci.

“Malah saya sebut tanpa meninggalkan sesiapa di belakang. Sebagai contoh saya tidak hanya sebut tentang petugas barisan hadapan, tetapi rakyat juga tidak ketinggalan,” jelas pemilik nama sebenar Francis Tan Soon Yap, 24, itu.

Tambahnya lagi, antara sebab lain mungkin kerana lagu ini dinyanyikan oleh tiga rapper, sekali gus menyuntik keunikan tersendiri.

Roman turut berkongsi perasaan gembiranya dapat bekerjasama dengan orang lama seperti Datuk Norman Abdul Halim.

“Siapa yang tak gembira dapat bekerja dengan nama besar sepertinya. Dia sangat relaks. Rakaman lagu dan video muzik semuanya menjadi mudah tanpa ada sebarang tekanan,” katanya bercerita tentang karya ciptaan anak buah kepada trio adik-beradik KRU bernama Si8 atau Syed Hazriq. – BOOM!